Thursday, April 12, 2012

UMRAH Backpack Part III ~ Madinah al Munawwarah


Day 3: 19 Februari, Ahad

Hari ini adalah hari ke 3 kami meninggalkan tanah air...juga merupakan hari ke 2 kami di Madinah. Alhamdulillah saya diberi kekuatan dan kesihatan untuk memulakan rutin ibadah seawal pagi di Masjidil Haram. 

Saya bangkit tidur seawal jam 4 pagi ketika suami dan anak-anak masih lena dibuai mimpi. Sejak semalam saya mohon pada suami, kali ini izinkan dan berilah saya peluang untuk fokus kepada hal-hal ibadah. Beliau sudah berpuluh kali datang ke bumi Haramain malah ada kalanya 4-5 kali dalam setahun. Jadi kali ini berilah peluang untuk isterinya pula untuk mengumpul sebanyak mungkin pahala di sini. 

Walaupun alat hawa dingin sudah dimatikan, kedinginan di luar tetap terasa di dalam kamar kami. Sebetulnya musim dingin masih belum berakhir. Saya anak Malaysia sejati. Tidak selesa jika memulakan rutin harian tanpa mandi. Jam 4.30 turun keluar ke lobi hotel dan menanti Kak Nursiah di situ. Sebelum melangkah keluar saya beritahu suami yang saya nak ke masjid...beliau angguk dan menyambung tidur. Saya kurang pasti jam berapa suami tidur semalam memandangkan ada jemaah yang baru tiba jam 3 pagi.

Inilah langkahan kaki yang pertama menuju Masjid Nabawi.
Saya akan ingat saat ini sampai bila-bila.

Gambar ini diambil dari hadapan pintu hotel Elaf Taiba...sebelum melangkah ambil gambar dulu :)

Indahnya suasana apabila di kedinginan sepertiga malam ini ramai umat manusia berpusu-pusu melangkah kaki ke masjid.
Semuanya menuju arah yang sama...dengan tujuan yang sama.
Beruntungnya saya menjadi salah seorang umat Muhammad dan beragama Islam..dan berpeluang melalui pengalaman indah ini.


Subuh di Masjid Nabawi....sangat dingin...semua orang berpusu2 untuk menyembah Allah yang Esa...

Alhamdulillah anak dara saya, Rihaab (3 tahun) tak menangis ketika dibangunkan untuk ke Masjid...
Tiang-tiang Masjidil Haram yang bercahaya-cahaya...serta ukiran-ukiran indah di dinding-dinding masjid bagai menyambut kehadiran saya dan beribu orang lagi untuk sama-sama beribadat di dalamnya.
Merebut peluang mengaut ganjaran pahala yang sangat banyak...beratus ribu kali ganda berbanding ibadat di tanah air sendiri.

Subuh di Madinah sangat dingin. Saya hanya memakai jubah nipis tanpa baju panas. Sambil berjalan saya berbual-bual dengan Kak Nur yang sudah kali kedua ke sini.
Alhamdulillah ruang solat di dalam masih kosong jadi dapatlah kami masuk ke dalam.
Seperti biasa ada yang memeriksa beg di pintu-pintu masuk.
Dapatlah saya menunaikan beberapa solat sunat sementara menanti masuknya waktu Subuh...serta mengira-ngira bilakah saya akan ke Raudhah.
Subuh masuk lebih kurang jam 5 pagi.

Mesti ada yg hairan tengah solat boleh ambil gambar? Sebenarnya waktu ini para jemaah sedang solat jenazah...saya tidak menyertainya sebab dah terbatal wudhu'...huhu

Usai solat Subuh

Usai solat Subuh, saya lihat anak-anak saya Wifaq, Rihaab dan Nehal semuanya ada di lobi hotel sedang bermain-main.
Rupanya suami berjaya membangunkan mereka awal pagi dan membawa mereka solat di masjid.
Anak-anak nampak gembira betul. Nampak saya dari jauh mereka mula melompat-lompat.
Lega hati saya kerana pada mulanya terasa bersalah juga  meninggalkan anak-anak dengan suami.
Nampaknya beliau dapat handle anak-anak dengan baik sekali!
Alhamdulillah...

Kata suami, membawa budak-budak ni ke masjid serupa macam bawa artis.
Setiap beberapa langkah terpaksa berhenti kerana ada saja yang menegur dan ambil peluang mencium kanak-kanak ini.
Ada juga yang mahu bergambar.
Ada yang beri coklat, gula-gula, biskut dan air kotak.
Terutamanya jemaah dari Turki yang banyak sungguh stok biskut dan gula-gula dalam beg mereka.
Saya dapat rasakan aura kebahagiaan buat setiap orang di bumi Haramain ini.
Semua orang di sini berada dalam mood yang baik...dan sangat gembira melihat kanak-kanak di bawa bersama ke bumi yang mulia ini.

Saya lihat anak-anak lengkap berbaju sejuk walaupun hanya yang nipis. Mujur suami jumpa di mana saya simpan baju sejuk anak-anak.
Terasa menyesal juga tak bawa baju-baju tebal anak-anak yang saya tinggalkan di rumah.
Baju-baju musim dingin yang kami guna di Korea tahun lepas masih elok dan masih muat.
Alasan utama mengapa saya tinggalkan ialah..barang kami sudah terlalu banyak dan tiada ruang untuk pakaian tebal.

Suhu di Madinah berangin. Terasa sangat kulit muka dan tangan mengering secara melampau. Pedih dan tangan saya mula pecah-pecah serta mengeluarkan darah.
Tahun lepas di Korea pun saya mengalami masalah sama.
Saya ini nama je lahir di luar negara pada musim dingin..tapi lebih sesuai dengan udara Malaysia yang panas dan lembam lembap.

On the way to the breakfast room. Kebetulan bersebelahan dengan ruang makan jemaah Hizmet Turizm dari Turki...depa ni suka tengok kanak2 kot...berebut nak ambik gambar le pulak
Lepas sarapan pagi, kami berehat di bilik hotel saja. Keletihan semalam masih bersisa. Hari ni kami mahu mengumpul tenaga untuk aktiviti seterusnya.
Jam 11 pagi saya dan Kak Nur dahpun melangkah ke Masjid Nabawi.
Sementara menanti waktu Zohor, saya dan Kak Nur merancang untuk cuba masuk ke Raudhah selepas solat Zohor.
Kak Nur lebih expert, saya hanya menurut disebabkan ini pengalaman pertama saya di sini...jadi perlu merujuk yang lebih pakar.

Bertempur di Raudhah

Sebaik selesai solat Zohor, kami melangkah masuk ke dalam masjid menuju ke Raudhah.
Dalam hati tak putus-putus berdoa agar urusan kami dipermudahkan hari ini.
Kami datang dari jauh...dengan niat yang baik. Maka permudahkanlah Ya Allah.
Alhamdulillah nampaknya doa saya pantas terjawab.

Biasanya, jemaah yang mahu masuk ke Raudhah akan dikumpulkan mengikut negara.
Orang Malaysia biasanya akan disekalikan dengan jemaah dari Indonesia dan Brunei.
Dan kebiasaannya jemaah dari negara-negara seperti Turki, Iran dan negara Timur Tengah yang lain akan diberi peluang terlebih dahulu.
Namun nak jadi rezeki kami...belum beberapa minit kami duduk, jemaah Asia Tenggara dipanggil dahulu.
Tak tunggu lama, kami terus bangun dan berjalan pantas menuju Raudhah.

Raudhah~tempat himpun segala doa dan Insya Allah doa2 akan termakbul dengan izin Allah. Gambar ihsan google pic. Jemaah wanita tak dibenarkan masuk ke dalam namun masih boleh berdoa dan bersolat di kawasan Raudhah.



Makam Rasulullah SAW. (Gambar ihsan Google images)
Makam Rasulullah SAW. Sesungguhnya para Nabi dan wali tidaklah mati tetapi terus beribadat kepada Allah di dalam kubur2 mereka (gambar ihsan Google images)
Jemaah agak ramai dan sedikit berasak-asak. Tetapi masih OK selagi jemaah Turki belum masuk.
Lama kami berdiri sebaik masuk ke kawasan Raudhah.
Seperti yang semua orang sedia maklum, kawasan Raudhah ini kecil sahaja namun di sinilah antara tempat mustajab untuk berdoa.
Terharu...apabila mengenangkan di sinilah Rasulullah pernah berlegar-legar, bersolat dan melakukan aktiviti harian baginda.
Tempat ini penuh barakah.
Di sebelah kiri terdapat makam Rasulullah...ya! Di situlah jasad baginda bersemadi.
Mungkin juga baginda sedih memerhatikan umatnya yang kurang berdisiplin hingga sanggup menganiaya orang lain semata-mata untuk masuk ke Raudhah.

Pernah satu ketika dahulu ada pihak yang cuba mencuri mayat baginda Rasulullah namun gagal dengan kuasa Allah SWT.
Mungkin si pelaku menyangka jasad Rasulullah sama seperti Firaun yang rangkanya boleh dipindah-pindah sesuka hati.

Sepanjang berada di Raudhah yang merupakan salah satu taman syurga ini, berbakul-bakul doa saya panjatkan hinggakan apa saja, dan sesiapa saja yang terlintas di fikiran akan saya doakan.
Di sinilah segala doa akan menjadi mustajab dan diperkenankan Allah SWT.
Maka berdoalah sebanyak-banyaknya...
Inilah istimewanya bumi Haramain..hinggakan dalam keadaan merangkak-rangkak pun manusia sanggup datang ke sini.

Saya perhatikan masih ada juga yang percaya dengan perkara khurafat seperti menyapu-nyapu kain ke tiang-tiang yang terdapat di sini.
Kawasan Raudhah sebenarnya sempit sahaja beberapa meter antara mimbar dan rumah Rasulullah.
Ia ditandakan dengan karpet berwarna hijau lumut.
Jika tidak dapat sangat solat di sini, berdoalah sebanyak-banyaknya.

Sebaik saja berjaya memasuki kawasan Raudhah, kami berdiri agak lama di situ bagi mencari sedikit ruang untuk menunaikan solat sunat. Rupanya tindakan kami berdiri lama itu disalah ertikan oleh mereka yang bersolat di belakang kami sebagai...menjaga mereka ketika mereka sedang bersolat.
Sekali lagi, syukur alhamdulillah.
Sebaik usai solat, orang di belakang kami itu dengan pantas memanggil kami untuk masuk ke ruang yang mereka solat tadi.
Saya mengangguk dan mengucapkan "Syukran".
Agak lama juga kami duduk memohon doa sebaik selesai solat seolah-olah tiada orang lain yang nampak kami duduk berlama-lama di situ.

Semakin lama, keadaan semakin sesak.
Saya pernah terbaca dalam satu blog mengenai pengalaman mereka yang pernah memasuki Raudhah sebelum ini...apabila pintu Raudhah dibuka untuk jemaah wanita...maka akan kedengaranlah satu bunyi seperti 'stampede' seolah-olah bunyi gajah atau lembu (atau mana-mana haiwan bersaiz besar) dilepaskan dari kandang...
Tersenyum saya sebaik terdengar bunyi itu.
Tetapi bunyi tersebut sebenarnya hanya kedengaran apabila jemaah2 dari Turki, Algeria dan seangkatan dengannya merempuh masuk...

Sebaik saja mereka masuk, terasa keadaan makin sesak dan rempuhan dari belakang.
Saya peluk Kak Nur sekuat hati...sementara Kak Nur sudah melekat pada sebatang tiang.
Yang lucunya, di tiang-tiang sudah ada tali diikatkan untuk kita berpaut saat dirempuh.
Nak ketawa pun ada mengenang kisah ini.
Selepas tiang sebelah kanan, kami bergerak sedikit-sedikit ke tiang sebelah kiri selari antara mimbar dan rumah Nabi.
Kami berdiri lama-lama di situ dan berdoa sebanyak-banyaknya...

Selepas berjaya keluar dari Raudhah, kami meneruskan iktikaf di masjid memandangkan sudah hampir waktu 'Asar. Waktu itu hampir jam 3 petang.
Sebenarnya perut kami sudah berkeroncong tapi saya tahankan juga dengan air zam-zam.
Lepas solat Asar, ada program lain pula iaitu Ziarah Dalaman Masjid Nabawi...nampaknya lepas 'Isyak lah baru saya dapat makan.

Gambar ihsan kamera Kak Nursiah Junid :)
Langit biru mamayungi Masjid Nabawi
Selesai Solat Asar, suami mengarahkan para jemaah berkumput di Car Park No. 8 berhampiran Dauratul Miah Lirrijal (Men's Toilet).
Ziarah Dalaman ini diketuai oleh Ustaz Muhammad Wado..atau digelar Ammu (pakcik) Mat oleh anak-anak saya.
Ust. Mat Wado merupakan staf Syarikat Pelancongan Yaskin di Makkah dan Madinah yang merupakan penduduk tetap kelahiran Makkah al Mukarramah dari etnik Patani.


Sementara menanti jemaah Yaskin Travel yang lain datang berkumpul untuk ziarah dalaman.

Dengar taklimat.
The Zuriats (macam nama kumpulan nasyid tak...hehe)




Syahdu rasanya apabila berdiri di hadapan kubah hijau itu. Ya. Kubah hijau yang amat saya rindui itu.

Assalamualaika Ya Rasulullah...
Ustaz Mat Wado mengetuai bacaan selawat dan kami ikut beramai-ramai.
Saya beritahu Wifaq, inilah Makam Rasul yang selalu dinyanyi-nyanyikan dalam lagu Panggilan Haji itu~"Masjidin Nabawi terletak makam Rasul...Taman Raudhah tempat himpun doa".
Sekarang Wifaq sudah tahu...apa itu Masjidin Nabawi, Makam Rasul dan Raudhah.
Kebetulan, sebelum menunaikan umrah pun anak-anak saya selalu mendengar CD Panggilan Haji dendangan kumpulan Hijjaz dalam kereta.
Jadi serba sedikit mereka sudah ada basic tentang tempat yang akan mereka kunjungi ini...terutamanya doa-doa ketika tawaf.
Wifaq yang paling hafal sekali doa-doa dan nasyid2 yang ada dalam album itu.

Di bawah kubah hijau terletak makam Rasulullah SAW

Ramai orang melepak di perkarangan masjid
Jemaah dari negara lain kalau boleh makan tidur di masjid taknak balik hotel
Kak Nur posing dekat dipsenser air zam-zam. Jauh diorang angkut air zam-zam dari Mekah untuk bagi jemaah di Madinah minum free. Terima kasih kerajaan Arab Saudi.

Sepanjang ziarah, kami ditegur oleh beberapa pekerja Masjid. "Malizia?". Kami angguk. Malaysia selalu mendapat reputasi yang baik di sini. Bangga rasanya jadi rakyat Malaysia (dalam sesetengah hal).
Kemudian kami ke Perkuburan Baqi'....sekali lagi perasaan sayu melanda entah datang dari mana.
Kubur di negara Arab tidaklah ditanda dengan batu nisan seperti di negara kita. Jadi kita tidak tahu yang mana satukah ahli keluarga kita sekiranya mereka ditakdirkan meninggal dunia di sini.
Namun...alangkah bertuahnya jika dapat mati di sini...tempat di mana syafaat Rasulullah sudah pasti buat kita.


Gambar ihsan mohamadazhan.com

Serta merta saya teringat peristiwa jemaah haji Malaysia meninggal dunia akibat terjatuh dari tingkap 10 hotel Al Haram, Madinah.
Suami ada tunjukkan pada saya yang mana satu hotelnya dan di mana arwah jatuh.
Arwah merupakan sepupu kepada teman baik saya.
Sewaktu arwah meninggal dunia, suami serta beberapa staf menyaksikan kejadian tersebut.
Tetapi apa yang tidak dilaporkan media Malaysia ialah...
Tubuh arwah jatuh tidak seperti manusia biasa. Ia jatuh dalam keadaan melayang-melayang seperti bulu ayam...dan jatuh mendarat dengan baik tanpa setitik darah pun.
Subhanallah Maha Suci Allah.
Yang pasti, arwah pergi di tempat yang mulia.
Nasib kita bagaimana pula?

Selesai ziarah dalaman, saya sudah lembik benar akibat tidak makan tengahari.
Jadi kami semua berjalan kaki (termasuk Kak Nur dan Abg Mi) pergi membeli Nasi Arab dan jus buah versi Arab yang sangat pekat lagi manis.
Waktu itu sudah hampir Maghrib.
Pergi ke kedai pertama, jualan sudah dihentikan. Kedai akan ditutup apabila tiba mastu solat.
Kami cepat-cepat ke kedai kedua dan suruh suami membelinya..kerana beliau lebih fasih berbahasa Arab berbanding saya...dan beliau boleh bertutur dengan cepat, itu yang paling penting.
Saya dan Kak Nur bersolat Maghrib di bilik saja hari ini...dan suami pula ke Masjid.

Pulang dari Masjid, suami bawa pulang bermacam-macam jenis aiskrim sebagai meraikan permintaan saya yang asyik meminta aiskrim sebaik tiba di bumi Saudi ini.

Sepatutnya selepas Isya', jemaah Yaskin akan dibawa secara rasmi oleh Ibu Ririn (salah seorang staf berbangsa Indonesia yang menetap di sini) masuk ke Raudhah.
Tetapi kerana keletihan, saya terlena sebaik selesai solat Isya'. 
Kempunan saya nak bertemu Ibu Ririn yang selalu disebut-sebut suami saya.
Kami dahpun membelikan oleh-oleh buat beliau dari Malaysia...dan suami mahu perkenalkan saya dengan beliau, namun belum rezeki hendak bertemu.


OK Samapai sini dulu. 
Tungu next entry OK?

No comments:

Post a Comment